DAP baru sahaja selesai mengumumkan senarai calon-calonnya yang akan dipertaruhkan di pilihan raya enam negeri yang bakal berlangsung pertengahan Ogos nanti. Di Selangor dan Pulau Pinang, ramai muka baharu diketengahkan, sama banyak dengan ramainya muka lama yang digugurkan daripada senarai.
Pun begitu ada juga calon-calon muda yang turut tidak berjaya tersenarai. Ada antaranya yang sudah mula mengatur serangan terhadap kepimpinan parti, dan ada juga yang berlapang dada dengan proses demokrasi yang renyah dan tentunya hangat dengan pergolakan kuasa.
Di tengah kekalutan ini, terutama sekali sejak PRU ke-15 November tahun lalu; banyak persoalan timbul tentang identiti DAP sebuah parti politik berbilang kaum yang punya ideologi jelas serta agenda besar untuk negara.
Apatah lagi setelah menganggotai sebuah kerajaan campuran yang dbentuk bersama Barisan Nasional. Krisis identiti lewat usia kelihatan sedang rancak melanda parti ini, dan ia pula sedang bergelut dalam usaha mencari diri. Seperti seorang lelaki pertengahan usia yang tiba-tiba punya kehendak untuk berkecimpung dalam dunia motosikal berkuasa tinggi, atau tiba-tiba berminat memancing.
Liew Chin Tong, ketika bertanggungjawab mengemudi biro pendidikan politik DAP beberapa lama dahulu, kerap menyatakan keresahannya tentang masa depan parti yang dikhuatiri akan perlahan-lahan berubah menjadi pengganti MCA.
Soal identiti DAP sebagai sebuah parti yang dilihat membawa perwatakan Cina sehingga dianggap sebagai sebuah parti Cina bukanlah benda baharu. Bahkan ia sudah dibahaskan secara ad nauseam sehingga kalau disebut lagi, memang rasa tak lalu. Hatta, ke-Cinaan DAP itu sudah dianggap sebagai suatu hakikat yang tidak lagi boleh disangkal. Seperti birunya langit dan manisnya gula.
Namun Chin Tong antara beberapa kerat pemimpin DAP yang telah dan sedang berusaha untuk membawa parti ke tengah, menjauhi kutub ekstrem dengan panji-panji MCA 2.0; suatu label yang terlihat keji dan memualkan.
Ketika Lim Kit Siang menjadi Setiausaha Agung DAP, persoalan identiti DAP tidak begitu pening dibahaskan. Kerajinan Kit Siang mengeluarkan kenyataan media setiap hari menjadi pandu arah kepada parti tentang apakah agenda semasa yang perlu ditangani. DAP jadi parti yang bertindak ke atas isu-isu rakyat dan negara sebagai sebuah parti politik pembangkang tanpa harapan realistik untuk membentuk kerajaan di mana-mana peringkat.
Setelah Lim Guan Eng mengambil alih pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, identiti parti menjalani sedikit anjakan.
Harapan Dan Selera Untuk Kuasa
Mustahil bagi mana-mana parti politik untuk tidak mengimpikan kekuasaan. Mungkin kerana impian itu terlalu jauh dari jangkauan DAP sebelum tahun 2008, maka apabila ia menjadi kenyataan seluruh ketumbukan aktivis dan pemimpin parti semuanya terkesima dan menyedari bahawa tidak ada perkara yang mustahil dalam politik Malaysia.
Sepuluh tahun kemudian, ia membuat keputusan untuk bergabung tenaga dengan Tun Dr Mahathir dalam sebuah pakatan untuk merebut kekuasaan. Dan ternyata, keputusan itu memberi hasil yang lumayan apabila rejim Najib Razak berjaya dilengser sehingga jatuh tersungkur.
Hasil kejayaan tersebut, pucuk pimpinan DAP diangkat menganggotai kabinet Mahathir; akar umbi habis semuanya teruja melihat pemimpin mereka yang selama ini menyeksa diri demi masyarakat dan negara akhirnya mendapat peluang untuk menjadi menteri, siap dengan polis pengiring dan lampu biru bergemerlapan.
Peluang yang diraih selepas menyertai kerajaan digunakan sepenuhnya untuk melaksanakan demikian banyak idea yang telah selama ini hanya mekar di dalam bayangan dan angan-angan ideologikal masing-masing. Kuasa yang didapati membolehkan lebih banyak program dilaksanakan, sejajar dengan kepercayaan dan faham ekonomi-politik-sosial yang disusun oleh parti selama ini.
Apabila kuasa itu hilang, maka DAP tidak diam dan berusaha keras untuk kembali mendapatkannya. Hatta pada ketika ini, apabila perlu duduk bersama dengan Barisan Nasional pun tidak apa. Demikianlah realitinya, dan politik Malaysia berubah total dengan DAP tersepit di tengah-tengahnya.
Apa dilema DAP sekarang? Ya tidak lain adalah persoalan identiti itu tadi. Kalau ditanya orang, DAP ini parti apa; maka persoalan itu akan menerima jawapan berbeza dengan skema sepuluh tahun lalu.
Ya masa telah berubah, manusia telah mengubah masa, dan masa juga telah mengubah manusia. Lalu hari ini orang bertanya, adakah benar dalam kerjasama bersama Umno yang diketuai Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini, DAP telah dibungkam dan diikat kemas supaya ia mengehadkan pergerakannya sekadar sebagai ganti MCA semata-mata?
Ini adalah persoalan yang akan perlu dijawab oleh parti dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Malaysia Untuk Rakyat Malaysia
Persoalan identiti ini kemudiannya membawa kita kepada persoalan nilai wawasan yang mahu mencairkan ke’Cina’an DAP dan menormalkan parti sebagai sebuah parti berbilang kaum.
Adakah pada masa akan datang kita akan melihat DAP mengendurkan usaha-usahanya untuk meluaskan kuasa dan pengaruhnya kepada demografi anak muda Melayu yang sepanjang beberapa tahun lalu begitu rancak ikut bergabung dan berkiprah bersama DAP?
Jika tidak, apakah upaya sedia ada untuk DAP bagi memastikan politiknya di masa akan datang tidak terhad kepada golongan penyokong fitrahnya sahaja?
Inilah perkara yang harus dikerjakan oleh mereka yang tidak berada dalam kerajaan: membina kapasiti parti sebagai induk ideologi dan penggubalan kertas dasar kebijakan parti yang berpandukan faham demokrasi sosial, demi kemaslahatan rakyat terbanyak.
Persoalan identiti ini nanti akan terjawab dengan sendirinya apabila lebih ramai pihak ikut bergabung dalam kerja besar membawa agenda Malaysia untuk rakyat Malaysia. Paling tidak inilah asas yang menarik minat ramai anak muda untuk berbaiah dengan DAP.
Sebaliknya jika DAP dan akar rumputnya lebih selesa menjadi gantian MCA dalam sebuah kerajaan yang sudah selesa dengan kaedah pecah perintah mengikut wilayah, latar keturunan, budaya dan agama; maka tidak jenuhlah kita pening kepala.
DAP mesti membuat keputusan selari fitrahnya sebagai sebuah parti politik yang tertubuh demi membela nasib rakyat miskin susah, tanpa mengira warna kulit dan kepercayaan. Jika tidak, ia akan dibungkus dalam bingkai kemunafikan dan menjadi celaan orang.

Izmil Amri adalah seorang pemerhati politik yang sedang cuba untuk kurangkan makan nasi kandar. Berkicau di @The_Mamu









