Pandemik Covid-19 telah memberi perubahan besar terhadap kehidupan manusia serata dunia dari segenap aspek, baik dari segi ekonomi mahupun sosial. Sepanjang hampir 2 tahun ini, kita telah menyaksikan perubahan luar biasa, khususnya dari segi penggunaan teknologi dan pembudayaan ekonomi digital.
Di Malaysia pun tidak terkecuali. Sekatan pergerakan dan aktiviti sosial telah menyaksikan manusia mula beralih kepada penggunaan teknologi bagi memastikan rutin harian dalam bidang pekerjaan dan kehidupan peribadi berjalan se-optima yang mungkin.
Para peniaga dan pemain industri, baik yang kecil dan sederhana mahupun yang besar bertaraf konglomerat, sudah mula beralih ke arah ekonomi digital. Budaya bekerja dari rumah dan penggunaan alatan seperti Google Meet dan Zoom untuk bermesyuarat sudah menjadi sebahagian daripada cara syarikat beroperasi. Pertukaran informasi dan kolaborasi antara pekerja rentas sempadan pula menjadi lebih mudah dan berkesan dengan bantuan teknologi seperti Slack dan Discord.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan, sesi pengajaran dan pembelajaran bagi anak-anak yang bersekolah pula dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Ini telah ternyata memberi peluang kepada para pelajar dan guru untuk memahami bagaimana sesuatu teknologi dan aplikasi itu digunakan. Pengalaman seperti ini semestinya akan memberi nilai tambah kepada para pelajar di masa hadapan.
Bukan itu sahaja, penggunaan aplikasi seperti e-dompet dan perkhidmatan penghantaran makanan telah digunakan secara meluas. Para pengguna sudah tidak perlu keluar dari rumah bagi membeli makanan, sebaliknya hanya perlu membuat pesanan melalui aplikasi-aplikasi seperti Food Panda dan Grab Food. Alatan teknologi seperti ini bukan sahaja membantu mereka menjalani kehidupan dengan lebih mudah tetapi juga melindungi kesihatan dan keselamatan keluarga dengan sebaiknya.
Dalam masa sama, di sebalik faedah dan keberkesanan yang pastinya sangat dialu-alukan, penggunaan teknologi secara meluas tetap hadir dengan cabaran tertentu, khususnya peningkatan jurang ketaksamaan. Jurang ketaksamaan ini pula wujud dalam pelbagai bentuk merentasi ketaksamaan peluang, hasil dan impak.
Pertama, penggunaan teknologi secara meluas telah mempengaruhi jurang ketaksamaan peluang khususnya dalam bidang politik dan sosioekonomi.
Oleh kerana teknologi seperti capaian Internet dan sosial media memainkan peranan penting sebagai medium penerokaan peluang politik dan sosioekonomi, kekurangan akses kepada teknologi berkenaan sudah tentu akan merencatkan pembangunan yang ingin dilaksanakan. Begitu juga sebaliknya, semakin baik akses kepada Internet dan sosial, maka makin banyaklah peluang boleh diceburi oleh masyarakat berkenaan.
Bagi masyarakat yang memiliki akses yang kurang terhadap teknologi asas tersebut, mereka memiliki peluang yang rendah untuk melibatkan diri dalam perbincangan politik peringkat nasional. Kesan fenomena yang dipanggil digital divide termasuklah kesukaran untuk mendapatkan informasi yang tepat, telus dan seimbang seterusnya akan memberi kesan terhadap tahap celik politik mereka yang rendah.
Hal ini berbeza bagi masyarakat yang memiliki akses mencukupi terhadap sumber informasi murah dan terus berkenaan. Sepertimana dijelaskan oleh Stephan Heblich dalam tulisannya yang bertajuk The Effect of Internet on Voting Behaviors (2016) kepada majalah IZA World of Labor, masyarakat yang mempunyai capaian Internet yang baik cenderung untuk menjadi seorang pengundi yang lebih bijak dan berpengetahuan yang kemudiannya akan menyumbang kepada pentadbiran politik yang lebih terancang, bersih dan berintegriti.
Perkara sama turut berlaku dalam bidang ekonomi. Dengan penggunaan teknologi seperti Google Business, Google Analytics dan media sosial seperti Facebook dan Instagram yang ternyata sangat membantu dalam meningkatkan produktiviti perniagaan yang dijalankan, masyarakat atau wilayah yang memiliki akses teknologi yang rendah akan terus ketinggalan dalam persaingan.
Tanpa teknologi seperti sains data, kecerdasan buatan dan machine learning juga, para pekerja, usahawan dan syarikat perniagaan sudah tentu tidak memiliki keupayaan untuk menjalankan aktiviti perniagaan di tahap optima seiring dengan piawaian antarabangsa.
Dalam masa sama, tanpa akses yang baik terhadap teknologi dan alatan digital terkini, para belia dan pelajar di kawasan berkenaan akan terus ketinggalan dari segi peluang mendapatkan ilmu dan memperbaiki diri. Jika dibandingkan dengan rakan sebaya mereka di kawasan yang memiliki akses yang baik kepada sumber informasi dan pengetahuan, minda dan kemampuan mereka akan terus terkurung oleh cara dan budaya kerja tradisional yang sudah tidak lagi relevan dalam persekitaran moden.
Kedua, penggunaan teknologi secara tidak saksama ini akan memberi kesan terhadap peningkatan jurang pendapatan dan kekayaan antara masyarakat. Jurang pendapatan dan kekayaan ini pula merupakan kesan langsung daripada jurang ketaksamaan peluang.
Perubahan lanskap perniagaan dan inovasi dalam industri akan mencipta peluang-peluang baru kepada golongan pekerja berpendapatan tinggi tetapi dalam masa sama memberi kesan negatif terutamanya kepada golongan pekerja berkemahiran rendah.
Penciptaan teknologi-teknologi baharu seperti robotik dan teknologi buatan (AI) yang bertujuan bagi mengurangkan kos upah selain mengoptimakan produktiviti akan menyebabkan kebanyakan daripada golongan berkemahiran rendah berisiko untuk kehilangan pekerjaan.
Bagi memasuki semula pasaran pekerjaan, kebanyakan pekerja yang kehilangan pekerjaan tadi terpaksa menceburi bidang berasaskan perkhidmatan. Hal ini kemudiannya membawa kepada masalah jumlah tenaga pekerja melebihi permintaan pasaran yang seterusnya akan mengakibatkan persaingan yang cukup tinggi dalam industri berkenaan. Ini kemudiannya membuka peluang kepada eksploitasi majikan yang bertindak menawarkan gaji tidak berpatutan kepada pemohon-pemohon yang rata-ratanya berada dalam keterdesakan.
Tetapi hal sebaliknya berlaku kepada pekerja berkemahiran tinggi yang rata-ratanya celik teknologi. Tempat mereka dalam perniagaan dan industri kekal terjamin kerana keperluan tenaga kerja pintar dan berkemahiran semakin meningkat. Apabila permintaan terhadap pekerja berkemahiran tinggi ini meningkat melebihi jumlah bekalan tenaga kerja, maka nilai pendapatan yang ditawarkan menjadi semakin tinggi.
Keadaan ini dibuktikan secara jelas oleh Christopher W. Poliquin dalam kajiannya yang bertajuk The Wage and Inequality Impacts of the Broadband Internet (2020). Menurut kajian beliau, walaupun jumlah kadar upah keseluruhan pekerja meningkat sebanyak 2.3% selepas penggunaan broadband diperkenalkan di Brazil, kebanyakan manfaat diperoleh oleh kumpulan pengurusan dan lembaga pengarah syarikat dengan masing-masing memperoleh peningkatan kadar upah sebanyak 9% dan 19%.
Ketiga, penggunaan teknologi secara tidak saksama antara wilayah atau negara akan mengakibatkan jurang ketaksamaan impak. Jurang ketaksamaan impak pula bermakna berapa teruk sesebuah wilayah atau negara terkesan oleh impak, khususnya alam sekitar berbanding wilayah atau negara lain.
Oleh kerana teknologi telah digunakan secara meluas, khususnya di negara-negara maju bagi menangani cabaran seperti perubahan iklim, pemanasan global dan keselamatan makanan, kekurangan akses terhadap teknologi yang murah dan efektif sudah tentu akan merencatkan usaha mengurangkan risiko dan impak yang bakal menempa.
Di negara-negara maju, teknologi seperti sains data dan kecerdasan buatan (AI) telah dibangunkan bagi membantu para petani dan penternak menguruskan hasil tanaman dan ternakan dengan cekap dan berkesan walaupun terpaksa menghadapi masalah seperti cuaca tidak menentu, banjir dan kemarau panjang.
Penciptaan teknologi seperti ini sudah tentu dapat membantu para petani dan penternak untuk melindungi produk tanaman dan ternakan mereka di samping mengoptimakan jumlah pengeluaran serta keuntungan secara keseluruhan. Keadaan ini kemudiannya menyumbang secara positif ke arah jaminan rantaian bekalan serta kestabilan harga pasaran bagi produk-produk tersebut.
Namun sebaliknya, keadaan ini cukup berbeza dengan petani dan penternak di negara miskin dan membangun yang terpaksa berhadapan dengan masalah banjir dan kemarau tanpa bantuan teknologi yang cekap dan berkesan. Hal ini kemudian memberi kesan terhadap ketidaktentuan dalam pengeluaran hasil tani yang kemudiannya mengakibatkan penurunan pendapatan mereka.
Kegagalan dalam memastikan kestabilan dalam rantaian bekalan serta harga pasaran kemudiannya akan memberi kesan kepada kos sara hidup khususnya golongan berpendapatan rendah yang sedia terdesak. Ketidakmampuan untuk mendapatkan bekalan makanan yang segar dan sihat pula berisiko membawa kepada masalah lain seperti kelaparan dan kekurangan nutrisi.
Justeru, kerajaan seharusnya memainkan peranan penting dalam mencari keseimbangan dalam pelan pembangunan teknologi negara. Polisi yang menyeluruh dan inklusif harus digubal dan dilaksanakan secepat mungkin bagi mengatasi masalah jurang ketaksamaan yang disebabkan oleh teknologi ini tadi.
Pendidikan teknologi yang berkualiti dan seiring pembangunan teknologi di peringkat antarabangsa harus dilakukan secara berterusan bagi menjamin tenaga kerja yang celik digital yang mencukupi. Program seperti reskilling dan upskilling harus dijalankan dengan kerap bagi memastikan pekerja berkemahiran rendah dapat meningkatkan ilmu dan kemahiran mereka agar mampu untuk terus bersaing dalam pasaran pekerjaan yang kian mencabar ini.
Dalam masa sama, kerajaan juga perlu memastikan agar kos bagi setiap program reskilling dan upskilling yang dijalankan mampu dibayar oleh para golongan pekerja sasaran. Sekiranya perlu, kerajaan perlu memberi bantuan kewangan kepada golongan pekerja sasaran yang rata-ratanya berpendapatan rendah agar mereka mampu menyertai program-program berkenaan tanpa halangan.
Syarikat perniagaan pula perlu mendokong hasrat kerajaan ini dengan memperkenalkan proses pembelajaran dan latihan kemahiran yang berterusan kepada para pekerja mereka. Mereka perlu bertanggungjawab untuk membantu meningkatkan kemahiran digital para pekerja dan tidak dengan sewenang-wenangnya membuang pekerja-pekerja mereka.

Archigós Nikólas berasal dari Sarawak dan minat menulis mengenai topik kepimpinan, keadilan dan kebebasan. Beliau percaya setiap rakyat berhak untuk mendapat akses yang lebih baik kepada informasi kritikal yang selama ini hanya berlegar di kalangan elit sahaja.









